Menyanggah Pendapat Schacht Mengenai Zakat*

Oleh: Dr. Ugi Suharto

Dalam Encyclopaedia of Islam, Joseph Schacht (1902-1969){1} menyatakan:

In any case, the character of zakat in the time of the Prophet was still vague and it did not represent any of the taxes demanded by religion. After Muhammad’s death many Bedouin tribes therefore refused to continue to pay zakat as they considered their agreements canceled by the death of the Prophet, and many believers, among them ‘Omar himself, were inclined to agree with this. Only the energy of Abu Bakr made the zakat as a regular tax a permanent institution, which through the establishment of a treasury contributed greatly to the expansion of Muslim power.{2}

Tiga ayat di atas mengandungi lima butir kesalahan; tiga butir menyalahi dasar-dasar Islam manakala dua lagi merupakan tafsiran yang salah. Pertama, Schacht berpendapat bahawa zakat di zaman Rasulullah SAW masih lagi kabur. Kedua, zakat ketika itu bukan perintah agama. Ketiga, bagi membuktikan kedua-dua pendapatnya, Schacht berhujah dengan fakta bahawa apabila Rasulullah SAW wafat orang-orang Arab Badwi tidak lagi mahu membayar zakat. Keempat, ‘Umar al Khattab dan beberapa sahabat yang lain pada mulanya menyetujui sikap yang diambil oleh orang-orang yang bertanggungjawab menjadikan zakat sebagai lembaga keagamaan yang tetap kepada umat Islam seluruhnya.

Butir pertama, kedua dan kelima bercanggah dengan dasar-dasar Islam, sedangkan butir ketiga dan keempat telah disalah tafsirkan. Dakwaan Schacht bahawa zakat di zaman Rasulullah SAW masih kabur telahpun dibantah oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, walaupun beliau masih lagi mempertanyakan mengapa Schacht tetap mendakwa bahawa zakat di zaman Rasulullah itu kabur, padahal hadis-hadis mengenai zakat banyak terdapat dalam kitab-kitab hadis yang sekaligus menjelaskan pelaksanaannya secara terperinci! Yang sebenarnya, orientalis memang dari awal lagi telah beranggapan bahawa hadis-hadis Rasulullah SAW adalah satu fenomena baru yang berkembang setelah Rasulullah SAW wafat, oleh itu beliau meragui kesahihan kebanyakan hadis Rasulullah SAW. Motifnya sangatlah jelas; Jospeh Schacht ingin menggoncangkan kewibawaan para Imam hadis seperti Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lan dalam menilai hadis-hadis yang sahih. Sebagai bahan perbandingan ilmiah para pembaca dipersilakan meneliti sanggahan Muhammad Mustafa A’zami terhadap Schacht dalam kedua-dua karyanya: (i) Studies in Early Hadith Literature, dan (ii) On Schacht’s Origins of Muhammadan Jurisprudence.

Kembali pada pernyataan Schacht di atas bahawa zakat pada zaman Rasulullah SAW itu bukanlah satu perintah Agama, beliau membayangkan yang ianya adalah lembaga ekonomi-politik semata-mata. Dengan wafatnya Rasulullah SAW, maka putuslah juga ikatan ekonomi dan politik antara Rasulullah SAW dengan orang-orang yang membayar zakat kepadanya. Oleh itu khalifah yang baru dilantik tidak mempunyai sebarang hak terhadap mereka yang tidak mahu membayar zakat kepadanya. Pada hakikatnya pandangan seperti ini adalah pandangan yang mewakili golongan yang masuk Islam secara “politik” semata-mata. Istilah yang lebih tepat bagi golongan ini adalah munafiq. Dalam mempertahankan orang-orang yang enggan membayar zakat, nampaknya Schacht lebih cenderung memihak kepada Arab Badwi. Dengan ungkapan lain, Schacht berpendapat bahawa orang-orang Arab Badwi itu berada di pihak yang benar, sedangkan Abu Bakr yang melancarkan perang terhadap mereka di pihak yang salah! Sikapnya yang membela orang-orang ini kononnya mendapat sokongan dari ‘Umar al-Khattab. Sebelum kita memberi komentar lebih lanjut terhadap pendapat beliau, marilah kita meneliti dahulu sikap dan perangai orang-orang Arab Badwi yang dijadikan hero oleh beliau.

Al-Quran telah menyebut perihal orang-orang Arab Badwi (al-A’rab) dalam sepuluh ayat. Namun dari ayat-ayat itu sembilan ayat mencela mereka (at-Taubah:90.97, 98, 101, 120; al-Ahzab: 20; al-Fath: 11, 16; al-Hujurat: 14), dan hanya satu yang memuji mereka (at-Taubah: 99). Di antara ayat yang paling keras memberikan kecaman kepada mereka adalah:

“Orang-orang Arab Badwi itu, teramat sangat kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum Allah yang diturunkan kepada Rasul-Nya.” (at-Taubah: 97)

Muhammad Asad, dalam The Message of the Quran, memberikan ulasan tentang sikap orang-orang Arab Badwi ini:

..owing to their nomadic way of life and its inherent hardship and crudity, the Bedoiun find it more difficult than do settled people to be guided by the ethical imperatives unconnected with their immediate tribal interests – a difficulty which still futher enhanced by their physical distance from the centres of higher culture and, consequently, their comperative ignorance of most religious demands.

Itulah gambaran secara umum mengenai perangai dan sikap mereka yang buruk terhadap ajaran-ajaran Agama. Adapun sikap mereka terhadap zakat khasnya, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran bahawa di antara mereka ada yang menganggap membayar zakat kepada Rasulullah SAW sebagai kerugian.

“Di antara orangt-orang Arab Badwi itu, ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah), sebagai suatu kerugian dan dia menanti-nanti marabahaya menimpamu…” (al-Taubah: 98)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa bukan pada masa pemerintahan Abu Bakr sahaja orang-orang Arab Badwi itu bersikap negatif terhadap zakat, bahkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Oleh itu kita bersetuju dengan pandangan Syeikh al-Qaradhawi bahawa maslaah zakat yang ditimbulkan oleh orang-orang Arab Badwi itu bukan disebabkan oleh kekaburan zakat, tetapi disebabkan oleh sikap kehidupan orang Arab Badwi itu sendiri yang jauh dari agama dan ditambah lagi dengan barunya mereka memeluk Islam.

Adapun tafsiran bahawa ‘Umar menyetujui tindakan orang-orang Arab Badwi itu atas alasan kekaburan zakat adalah tidak tepat sama sekali. Yang sebenarnya beliau tidak menyetujui polisi Khalifah untuk melancarkan perang terhadap mereka yang tidak membayar zakat. Ini terbukti apabila Abu Bakr memberikan penjelasan kepada ‘Umar, beliau akhirnya dapat memahami polisi Khalifah itu. Perlu dikaitkan juga di sini bahawa fenomena riddah (murtad) dan hubungannya dengan kes keengganan membayar zakat pada masa pemerintahan Abu Bakr itu mempunyai dua dimensi. Yang pertama adalah kes riddah dalam erti yang sebenarnya, iaitu mereka yang terlibat dengan Musaylamah al-Kadhdhab dan juga beberapa individu lain. Golongan ini bukan sahaja tidak mahu membayar zakat, bahkan menolak Islam secara keseluruhannya. Golongan yang kedua pula terdiri dari mereka yang masih berpegang dengan ajaran Islam, tetapi mereka salah faham terhadap konsep zakat dan mereka tidak bersedia membayar zakat kepada khalifah. Golongan yang kedua ini pada hakikatnya adalah ahl al baghy (pemberontak) dan tidaklah terkeluar dari Islam. Adapun sebab dimasukkan golongan ini bersama-sama dengan golongan murtad, ialah kerana kes riddah merupakan satu kes yang sangat besar bahayanya ketika itu. Ianya merupakan isu perdana, sehinggakan segala bentuk penentangan terhadap khalifah dilonggokkan sebagai isu riddah.

Walaupun begitu, Abu Bakr sangatlah faham bahawa keengganan membayar zakat kepada khalifah tidaklah menyebabkan individu atau suatu kelompok terkeluar dari Islam. Begitu juga ‘Umar, yang menasihatkan khalifah agar tidak memerangi mereka, amat memahami perkara itu. Tetapi Abu Bakr melihat persoalan itu dari sudut pandang dan kedudukannya sebagai pemimpin negara. Sebagai pemimpin politik yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara kesatuan umat, beliau memandang perlu untuk mengambil tindakan yang sama terhadap para pemberontak yang enggan membayar zakat sebagaimana tindakan yang diambil terhadap mereka yang benar-benar murtad. Polisi memerangi golongan pemberontak ini juga diambil oleh khalifah Ali bin Abi talib, ketika beliau menangani kes golongan khawarij yang memberontak terhadap pemerintahannya. Amir al Mukminin Ali bin Abi Talib memerangi golongan khawarij ini tanpa menganggap mereka terkeluar daripada Islam. Jadi polisi Abu Bakr memerangi mereka yang tidak membayar zakat adalah tepat.

Oleh itu dapat juga kita simpulkan bahawa polisi Abu Bakr memerangi golongan yang enggan membayar zakat adalah lebih bersifat politik. Hal itu terbukti pula dengan petunjuk lain yang mengisyaratkan bahawa beliau tidak memerangi keseluruhan mereka yang tidak membayar zakat. Menurut Abu ‘Ubayd (m. 224H/838M) dalam karyanya Kitab al-Amwal, Abu Bakr hanya memerangi mereka yang tidak membayar zakat mawashi (haiwan ternakan) dan tidak memerangi mereka yang tidak membayar zakat samit(emas dan perak) kepada khalifah. Mengapa pula Abu Bakr membeza-bezakan kedua-dua zakat tersebut? Jawapannya terletak pada Sunnah Rasulullah yang membahagikan harta zakat kepada dua kategori; harta zahir dan harta batin. Harta zahir adalah harta yang mudah dilihat, sukar disembunyikan, dan orang lain mudah mengetahui pemiliknya bahawa beliau adalah orang yang berharta. Oleh itu pemerintah dengan mudah mengetahui mana yang kaya dan mana yang miskin daripada rakyatnya dengan meneliti para pemilik harta zahir itu. Adapun harta batin, ianya tidak mudah diketahui, kerana pemiliknya boleh menyembunyikannya dari penglihatan orang lain.

Apabila tujuan kemasyarakatan zakat adalah mengagihkan kekayaan kepada golongan miskin, maka pemerintah selaku pemimpin masyarakat yang bertanggungjawab menegakkan keadilan sosial diberikan pilihan untuk menggunakan kekerasan demi mencapai tujuan itu. Namun penggunaan hak ini hanya dibenarkan untuk mengatasi kes-kes yang berkaitan dengan mereka yang tidak membayar zakat zahir sahaja. Sebenarnya polisi itulah yang diambil oleh Abu Bakr ketika memerangi mereka yang tidak membayar zakat harta zahir, yang pada masa itu tercermin dalam pemilikan haiwan ternakan seperti unta dan kambing. Adapun para pemilik harta batin seperti emas dan perak yang mereka sembunyikan pemilikannya dari pengetahuan khalifah, maka Abu Bakr tidak memerangi mereka. Ini juga membuktikan bahawa zakat mempunyai dua dimensi; dimensi sosio-politik dan dimensi ritual. Pemilikan harta zahir termasuk dalam dimensi sosio-politik, sedangkan pemilikan harta batin termasuk dalam dimensi ritual. Dari satu udut tindakan Abu Bakr memerangi golongan yang enggan membayar zakat harta zahir adalah manifestasi pelaksanaan wilayah kekuasaan sosio-politik yang dijawatnya. Dari sudut lain pula beliau tidak memerangi golongan yang enggan membayar zakat harta batin, kerana beliau tidak mahu memasuki wilayah ritual yang bukan haknya, kerana ianya adalah urusan pemilik harta tersebut dengan Tuhannya.

Dalam konteks ini, Abu Bakr telah memainkan peranannya sebagai penyelamat yang menjaga sifat sosio-politik dan sifat ritual zakat agar tetap kekal dalam konsepsi zakat. Beliau telah mengambil langkah yang paling bijaksana dalam menangani kes para pemberontak yang enggan membayar zakat pada zamannya. Kalaulah Abu Bakr tidak memerangi mereka, seperti yang dicadangkan oleh ‘Umar pada mulanya, nescaya zakat hanya akan menjadi lembaga ritual semata-mata. Sebaliknya, kalaulah Abu Bakr memerangi semua yang enggan membayar zakat, tanpa membezakan pemilik harta zahir dan harta batin, nescaya zakat akan menjadi lembaga percukaian biasa dan boleh jadi zakat akan kehilangan sifat ritualnya. Oleh itu tuduhan Joseph Schacht bahawa “only the energy of Abu Bakr made the zakat as a regular tax a permanent institution,” tidaklah berasas sama sekali. Dengan tuduhan itu, beliau menginginkan agar zakat hanya difahami dalam konteks ritual semata-mata. Dengan berselindung di sebalik nama ‘Umar al-Khattab, beliau pada hakikatnya mempertahankan kekeliruan fahaman orang-orang Arab Badwi terhadap zakat. Perbezaan sikap ‘Umar al-Khattab dengan Joseph Schacht adalah jelas; apabila ‘Umar menyedari kebijaksanaan Abu Bakr dalam kes ini, beliau dengan serta merta mengiktiraf kebenaran itu, tetapi Schacht tetap berdegil dan malah menuduh Abu Bakr mengada-adakan urusan zakat, ama seperti kedegilan orang-orang Arab Badwi yang disokongnya.

_________________________________________________________________________________________________________

* Artikel dipetik dari Majalah Al-Hikmah, Bil. 3, Tahun 6, 2000, 2-7.

{1} Beliau adalah Orientalis berbangsa Jerman yang mengkhususi bidang undang-undang Islam. Karya-karyanya meliputi: (i) kajian manuskrip bahasa Arab, (ii) penyuntingan teks manuskrip dalam bidang fikah, (iii) kkajian ilmu kalam, (iv) penulisan sejarah fikah Islam, (v) kajian mengenai sejarah ilmu-ilmu Islam dan falsafah, (vi) menulis u ntuk Encyclopaedia of Islam. Sila rujuk Robert Brunchvig, “Joseph Schacht,” Studia Islamica 31 (1970): 5-9; Bernard Lewis, “Joseph Schacht,” BOSOAS 33, part 2 (1970): 378-381.

{2} Encyclopaedia of Islam, edisi pertama, s.v. “Zakat,” oleh Jospeh Schacht.

About AIR

Orang biasa. Yang punyai visi jelas, dibantu bantu para guru untuk aku mengenal diri dan letak-duduk aku dalam alam ini. Aku orang biasa, yang punyai minat macam orang lain. Yang pasti, aku orang biasa.

Posted on July 13, 2011, in al-Iqtisad. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: